Rabu, 25 Februari 2009

Tanjung Rhu Langkawi




Tanjung Rhu terletak di sebelah utara Pulau Langkawi dan dinamakan Tanjung Rhu kerana terdapat banyak pokok rhu di sekitarnya .Pemandangan yang indah di sepanjang pantainya pasti memukau setiap mata yang memandang .

Perjalanan singkat dengan bot dari Tanjung Rhu akan membawa anda ke pintu masuk Gua Cerita yang menyimpan pelbagai cerita misteri,terdapat tulisan kuno yang masih belum dapat di tafsirkan sehingga kini masih boleh dilihat di dinding -dinding gua tersebut.

Keunikan Auckland




Kota New Zealand jadi destinasi sesuai bagi mereka yang mahu selami alam semula jadi, kegiatan penuh cabaran

AUCKLAND, New Zealand. Menyebutnya saja mungkin sukar tetapi sebaik menjejakkan kaki ke sana, kepayahan mengungkap Auckland pasti hilang kerana kagum dengan keindahan alam semula jadinya serta pelbagai tarikan pelancongan yang ada di sini.

Apa tidaknya, Auckland atau nama asalnya Akarana, mengikut bahasa Maori - kaum Pribumi New Zealand, memaparkan keindahan yang memukau, gabungan ciri moden kota kosmopolitan dengan deretan bangunan pencakar langit tetapi pada masa sama dikelilingi landskap alam semula jadinya seperti lautan, taman serta tasik yang mempesonakan.

Oleh itu, kesempatan ke Auckland tidak hanya memberi peluang menyelami kehidupan penduduknya yang serba moden, tetapi turut membolehkan pengunjung mendekati keunikan alam semula jadinya - lautan terbentang luas , kehijauan banjaran serta kawasan gunung berapinya yang selama ini mungkin hanya diperoleh menerusi buku rujukan.

Auckland yang juga bandar raya terbesar New Zealand, turut mempunyai keunikan tersendiri iaitu kewujudannya di atas kira-kira 50 kawasan gunung berapi mati dalam bentuk tasik, taman, serta pulau kecil.

Bandar ini didiami 1.3 juta penduduk, terletak di antara kawasan perairan Teluk Hauraki di Lautan Pasifik di sebelah timurnya yang merentasi ke Banjaran Hunua, Pelabuhan Manukau dan Banjaran Waitakere.

Ikan lumba-lumba boleh dilihat di Wahle and Dolphin Safari, Teluk Hauraki.

Auckland turut dikenali sebagai ‘Bandar Pelayaran’ kerana kegilaan ramai penduduknya terhadap sukan bot layar. Tidak hairanlah, mengikut statistik, setiap isi rumahnya memiliki empat bot layar. Ketika musim panas, Teluk Hauraki dipenuhi bot serta kapal layar penduduk tempatan serta orang asing yang mahu menikmati keseronokan melakukan pelayaran di persekitaran cuaca menarik serta angin yang kencang.

Bagi mereka yang sukakan alam serta keunikan fauna, kunjungan ke Whale and Dolphin Safari atau Safari Ikan Paus dan Ikan Lumba-Lumba di Teluk Hauraki tidak harus dilepaskan. Kawasan ini disenaraikan antara habitat terbaik yang kaya dengan pelbagai sumber makanan bagi mamalia marin. Atas faktor inilah, sebanyak 22 spesies ikan lumba-lumba dan ikan paus ditemui di perairan ini.

Atas alasan itulah, kemungkinan melihat kelibat haiwan mamalia ini amat tinggi iaitu 90 peratus bagi ikan lumba-lumba serta 70 peratus bagi ikan paus, sepanjang tahun. Sambutan hangat yang diterima menyebabkan jadual perjalanan bot dari Pelabuhan Viaduct, diadakan setiap hari.

Peminat bunga mawar pula harus mengunjungi Dove Myer Robinson Park pada tempoh antara Oktober hingga April kerana inilah masanya bunga ini kembang dengan mekar. Taman yang lebih popular dengan nama Parnell Rose Gardens, mempunyai ratusan jenis varieti baru dan lama bunga mawar, termasuk yang popular di peringkat antarabangsa.

Bunga Mawar mekar antara Oktober hingga April di dove Myer Robinson Park.

Selain tarikan alam semula jadinya, tumpuan utama pelancong ke Auckland adalah kegiatan atau aktiviti ‘ekstrem’ yang ada di sini. Ini termasuk Sky Walk yang beroperasi di atas menara telekomunikasinya, Sky Tower.

Tapi awas, aktiviti ekstrem ini hanya sesuai bagi mereka yang berjiwa berani serta tidak gayat. Bayangkan keadaannya apabila nyawa individu itu cuma terletak pada seutas tali keselamatan dan berjalan mengelilingi pelantar Sky Tower pada ketinggian kira-kira 192 meter di udara.

Jika itu belum mampu mencetuskan rasa gerun, bayangkan keadaannya apabila anda terpaksa menseimbangkan diri, berjalan melawan angin tanpa berpegang pada mana-mana tiang pun! Bagi mereka yang berani, sudah pasti cabaran itu bukan satu masalah kerana apa lebih penting adalah kepuasan menikmati keindahan persekitaran bandar Auckland dari Sky Tower berkenaan.

Andai ini belum cukup, satu lagi aktiviti ekstrem yang boleh dicuba adalah terjunan bungy AJ Hackett. Ramai yang tidak tahu Auckland adalah lokasi pertama terjunan bungy jambatan di dunia. Cabaran ini terletak di jambatan di kawasan Pier 2, Pelabuhan Waitemata.

Selain menggunakan kaedah terkini bagi sukan ini, pengunjung juga ditawarkan beberapa pilihan terjunan termasuk jenis yang membolehkan peserta terjun dan menyentuh permukaan air.

Namun, acara ini hanya dibuka kepada mereka berusia 10 tahun ke atas.

Apa yang pasti, kunjungan ke Auckland tidak akan menghampakan mereka yang mahu melihat dua ‘dunia’ dalam satu masa serentak - keindahan alam semula jadinya serta mencuba aktiviti ekstremnya yang mengujakan.

INFO: Antara tempat menarik di Auckland

  • Whale & Dolphin Safari
  • AJ Hackett Bungy
  • SkyWalk
  • Sky Tower
  • Galeri Seni Toi o Tamaki
  • Botanic Garden
  • Auckland Museum
  • Great Barrier Island
  • Parnell Rose Gardens
  • Whitford Bird Garden

Doha - Tempat menarik untuk dikunjungi


GAMBAR atas. Illustrasi pelukis mengenai cadangan pembinaan bandar raya masa depan Doha. Gambar bawah, premis perniagaan di Souk Waqif. Gambar kiri, Lapangan Terbang Antarabangsa Doha.

Pusat perniagaan Souk Waqif yang menjual pelbagai barangan tempatan terkenal dengan kecantikan seni bina warisan Qatar

DOHA atau nama Arabnya Ad-dawha bermaksud pokok besar adalah ibu negara Qatar, yang kini makmur di bawah pemerintahan Emir Sheikh Hamad Bin Khalifa Al-Thani.

Pada awal abad ke-20, ekonomi Qatar bergantung sepenuhnya kepada hasil perikanan dan mutiara. Oleh itu, tidak hairan apabila Doha mempunyai 350 bot mencari mutiara.

Bagaimanapun, apabila Jepun memperkenalkan pembiakan mutiara secara komersial pada 1930 menyebabkan seluruh rantau itu termasuk Qatar mengalami kemelesetan ekonomi sehingga menjadi sebuah negara miskin serta mundur.

Kesengsaraan rakyat Qatar tidak lama apabila pada 1930an, negara itu dianugerah Tuhan dengan penemuan hasil minyak yang kini boleh mengeluarkan 800,000 tong sehari.

Sejak itu Qatar terus makmur dan pemerintahnya, Sheikh Hamad terus tekun membangunkan negara yang kini menjadi anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Antara rekabentuk bangunan Souk Waqif.

Sheikh Hamad yang mementingkan pendidikan untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya dengan membuka Universiti Qatar pada 1973, menjadikan istana pemerintahan Qatar sebagai Muzium Negara, membina Bandaraya Pendidikan serta melancarkan saluran berita televisyen satelit Arab Al Jazeera pada 1996 yang berpusat di Doha.

Mereka yang pertama kali menjejak kaki ke bumi Qatar terutama Doha akan terkejut melihat kepesatan ekonomi bandar raya itu. Ia kini di sekeliling dengan pembinaan bangunan mencakar langit.

Difahamkan lebih 80 bangunan membabitkan pangsapuri, pejabat dan kompleks beli-belah sedang dibangunkan serentak bagi memenuhi keperluan pasaran.

Kiri dan kanan jalan, penulis dapat saksikan kerja pembangunan giat dijalankan, seolah-olah berada di satu penempatan baru dibuka seperti taman perumahan di Malaysia.

Orang ramai membeli-belah di kedai kasut di Souk Waqif.

Bagaimanapun, sebelum boleh memasuki pintu masuk negara itu, penulis terpaksa berdepan dengan pegawai imigresen wanita yang memakai jubah serta hijab serba hitam yang agak kedekut dengan senyuman serta serius melaksanakan tugasnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha.

Sambutan yang agak dingin itu tidak mematikan keinginan penulis meninjau kecantikan serta keajaiban Doha terutama Souk Waqif yang terkenal dengan sejarah pembinaannya.

Souk Waqif yang dibina semula mempunyai tiga jenis ruang perniagaan, iaitu pasar besar atau dikenali sebagai Amayer yang menempatkan peniaga borong dan runcit.

Kedua, kedai hasil kraftangan, jahitan, tenunan serta pertukangan serta ketiga, gerai terbuka untuk peniaga tempatan.

Sebaik saja memijak kaki di Souk Waqif, anda akan terpegun dengan kecantikan hasil seni bina warisan Qatar.

Di setiap lorong terdapat kedai yang menjual pelbagai barangan tempatan dan diimport dari serata dunia bagi memberi kepuasan kepada pengunjung membeli di Souk yang menjadi kebanggaan penduduk Doha.

Peniaga daripada pelbagai keturunan seperti India, Pakistan, Iran dan negara Timur Tengah akan menyambut tetamu dengan bahasa Arab dan Inggeris malah jangan terkejut jika ada antara mereka yang fasih berbahasa Melayu. Kebanyakan mereka begitu mesra apabila mengetahui penulis datang dari Malaysia dan mereka tidak lupa untuk menyebut nama pemimpin negara.

Di celah lorong Souk Waqif ini dipenuhi kedai menjual pelbagai kekacang seperti gajus, badam, kismis besar dan kecil, anggur kering serta pistacio tiga rasa, iaitu lemon, masin dan safaron pada harga yang agak murah. Malah ada kedai menjual pelbagai manisan yang menjadi kegemaran penduduk di Doha.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan jubah lelaki dan wanita, mereka boleh membuat pelbagai pilihan dengan harga berpatutan. Malah, ada kedai yang menyediakan perkhidmatan tempah dan pakai. Tidak ketinggalan, kain ela sutera dari Itali, China, dan Korea Selatan serta kapas dari Itali dan Jepun yang dijual antara RM15 hingga RM30 semeter.

Sebelum berhajat ke Souk Waqif, pastikan anda tidak ke sana antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang kerana premis perniagaan kecuali restoran mewah dibiarkan tanpa penghuni bagi membolehkan peniaga berehat sebelum meneruskan perniagaan hingga larut malam.

Sehari berada di Souk Waqif memang tidak cukup untuk meninjau setiap kedai di situ. Oleh itu, tidak hairan mereka akan datang semula untuk melepaskan rindu menikmati wangian rempah ratus yang dijual di souk berkenaan.

Pengalaman singkat di Doha terutama Souk Waqif membuka mata penulis betapa penting kita menjaga warisan negara serta bangga menghasilkan kraftangan sendiri tanpa mengimport dari China, Korea Selatan, Taiwan serta Indonesia, dan diletakkan tanda Made in Malaysia atau Buatan Malaysia.

FAKTA:

  • Mengikut sejarah Souk Waqif atau Pasar Berdiri, mendapat nama itu kerana ia berkait rapat dengan kewujudan Doha yang berasal daripada dua perkampungan kecil nelayan yang terbahagi dua oleh Wadi Mishireb.

  • Pada musim sejuk, air sungai akan mengalir deras serta melimpah ke tebing dan melalui lembah berkenaan. Penduduk Doha yang dipisahkan wadi berkenaan akan berkumpul di tebing untuk urusan jual beli barangan mereka.

  • Berikutan air mengalir di kawasan berkenaan menyebabkan mereka yang berdagang terpaksa berdiri sepanjang hari menjalankan urus niaga mereka.

  • Mereka tidak berpeluang langsung untuk duduk di tebing wadi berkenaan, dari situlah nama Souk Waqif atau Pasar Berdiri diperolehi.